Tuesday 21 July 2015

Buat penghafaz kalam Allah, bersabarlah!


Assalamualaikum, dahulu begitu susah untuk saya mencapai habiskan 30 juzu', pernah di pertengahan juz 5, saya rebah tidak berdaya ingin teruskan perjalanan. Ketika itu hanya menghantar 1 sms kepada abah, bunyikan seperti seakan dibawah :

 'Maafkan saya abah, saya tak mampu untuk teruskan perjalanan. Susah sungguh ayat ni, saya tak mampu.'

Besokkan selepas kelas tasmi', mukaku agak bengkak kerana terus menangis sepanjang malam tadi. Sedang jalan hendak pulang ke asrama, kedua mataku terbeliak melihat wajah kaum keluarga yang berdiri di tepi asrama banat. Saya berlari kearah nenek, menangis semahunya teresak-esak. Mak saudara keluarkan kek, ternyata pada hari itu, tahun kelahiranku ke 19, ditulis diatas itu,

'Selamat ulangtahun kelahiran ke-19. Imah kena teruskan perjalanan hingga ke akhir.'

Ya, saya teruskan. Bermula semester 2, semakin banyak ujian dan program. Kebiasaannya naqibah selalu berpesan agar seimbangkan segalanya samada Quran dan berpersatuan. Kata mereka, ketika menghafaz itu, bukan sahaja menjaga hubungan kita dengan Allah tetapi sesama manusia juga perlu jaga sebaiknya. Ambil tahu isu semasa, kerana huffaz perlu cakna dengan isu umat Islam diluar, jangan duduk di kepompong yang selesa sedangkan ummat Islam semakin parah. Dalam masa yang sama, ketika ini saya sedang berjinak untuk mendalami ilmu haraki. Kadangkala curi-curi membaca waktu menunggu pensyarah masuk ke kelas. Semakin lama semakin ghairah ingin tahu mengenai haraki, hujung minggu kebiasaannya saya dan roomate akan bergerak ke bumi Kuala Lumpur, singgah gedung buku Wisma Yakin, kadangkala mendengar talk gerakan mahasiswa disana, alangkah bahagia nya waktu itu. Hari demi hari, quran semakin lama semakin banyak ulangan, saya ditimpa musibah. Saya sakit terok, ketika itu sedang berprogram, saya diserang asma yang teruk sehingga masuk ke wad ICU. Saya memandang lampu hospital, adakah ini kali terakhir saya akan berada di dunia ini. Hanya tuhan yang tahu situasi saya ketika itu, masih kuat di ingatan ini, naqibah setia disisi membacakan ayat kursi dan menemani saya sehingga dibenarkan keluar wad. Alhamdulillah.

Naik sahaja sem 3, ketika itu berada di juz 15. Ustazah sungguh syadid, jika tidak ada hafalan, teruk kami dimarahinya. Ketika ini juga, saya sakit. Usus saya membengkak, sakitnya hanya Allah yang tahu. Doktor nasihatkan saya agar selalu menjaga pemakanan, tidak selalu makan pedas dan makan tepat pada waktunya kerna saya cepat sakit kerana pemakanan yang tidak sihat. Alhamdulillah, sahabat saya selalu menjaga sehinggakan ada yang membuat jadual pemakananku kerana jika terlalu sibuk, saya sering terlupa untuk makan. Saya selalu berdoa, agar sahabat saya ini dipermudahkan hafalannya, dia sangat sayangkan saya, dan saya sangat sayangkan dia kerana Allah. Oh, tidak lupa, ada juga seorang sahabat yang hadiahkan saya BARAKA (minyak habbatussauda') untuk saya beramal pemakanan sunnah, ya.. ada juga sahabat lain yang bertungkus lumus membeli mineral water kerana doktor tidak benarkan saya minum air tapis yang kurang pasti tahap kebersihannya. Saya masih ingat, seorang kakak memberi nota yang terselit di Quran, katanya adikberadik seperjuangan perlukan, cepatlah sembuh. Banyak lagi ucapan-ucapan yang membangkitkan semangat. Terima kasih sahabat-sahabatku, semoga Allah gantikan segala budimu dengan syurganya yang terindah.

Naik semester 4, saya masih tidak berapa sihat. Allah uji dengan ujian yang sangat indah. sehari sebelum saya khatam juga, saya pengsan di kelas. sahabat-sahabat ramai membantu mengangkat saya pulang ke asrama. Semasa menghabiskan hafalan surah dhuha sehingga an-nasr, airmata terus mengalir. mendengar sahabat-sahabat yang juga tidak putus bertakbir dan bertahmid sepanjang saya habiskan hafalan terakhir. Saya memandang ke bawah, tidak berani ingin mendongak melihat ustazah, kerana waktu itu juga, ustazah memegang tisu kerana dia juga sebak. Suasana sungguh syahdu, selesai khatam Quran , ustazah membuka helaian terakhir di Quranku.
'Cantiknya orang ini,siapa dia Shahira?'

Saya tersenyum sambil lap airmata, 'Dialah semangat ana untuk ana khatam pada hari ini. Dia arwah mama. Ana sedekahkan hafalan Quran sepanjang ana menghafaz ini kepadanya,ustazah.' Yang lain mengaminkan doa saya, doa khatam AlQuran.

Mendengar taujihat Murabbi, katanya orang hafal AlQuran ini banyak halangan, ada yang diuji dengan kematian orang tersayang, ada diuji dengan kesakitan, ada juga yang diuji dengan susahnya mengingat dan menghafaz kalam Allah, tidak lupa ada juga yang diuji dengan payahnya ulangan hafazan. Namun kata murabbi, sabar itulah yang membawa kita dekat dengan syurga.

'Sabar itu permulaan musibah,
bukan ditengah atau diakhir musibah..'

Saya berazam untuk khatam kali kedua, bukan senang ingin memegang kalam Allah ini, ada pepatah Arab menyebut, 

' Quran itu ibarat unta liar, jika
kita tidak mengikatnya dengan baik, dia
akan lari meninggalkan kita. '


No comments:

Post a Comment