Setelah
kejatuhan empayar Islam Uthmaniah, kita telah melihat beberapa siri penindasan
dan kekejaman yang telah menimpa umat Islam sehingga hari ini. Umat Islam
seolah-olah telah hilang taringnya yang tidak mampu melawan kekuatan musuh.
Islam telah kehilangan rijal-rijal yang akan kembali membawa kegemilangan
Islam. Pukulan hebat dan penangkapan serta penyembelihan berlaku pada umat
Islam apabila umat Islam mula bangun cuba untuk menegakkan Islam
kembali. Umat Islam seolah-olahnya kehilangan pedoman dan panduan apabila
melihat kekuatan musuh yang begitu
hebat.
Ramai di
kalangan muslimin menyangkakan bahawa pada akhir zaman nanti akan berlakunya al
fitan dan kerosakan di muka bumi. Mereka menyangka bahawa kekufuran beleluasa, kejahatan
menguasai alam. Islam berada di dalam
kemunduran dan penegak kebenaran dihina dan ditindas.
Sebenarnya ini merupakan satu
tasawwur yang silap yang seharusnya diperbaiki. Kegelapan yang menimpa umat
Islam kini tidak akan selama-lamanya. Fajar Islam akan menyinsing tidak lama
lagi. Jahiliyah pasti akan runtuh di bawah kekuatan Islam. Islam akan sekali
lagi menjadi pentadbir alam ini. Maka muslimin
seharusnya merasa yakin dan tidak berputus asa dengan janji Allah bahawa
Islam akan muncul mentadbir alam ini
walaupun orang kafir cuba
untuk menghapuskannya. Firman Allah Taala." Mereka cuba untuk
memadam cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka, dan Allah tidak menghendaki
selain menyempurnakan cahaya Nya walaupun orang kafir tidak menyukai" (at
Taubah: 32)
Sebenarnya sikap berputus asa dan
keluh kesah terhadap suasana yang menimpa umat Islam kini merupakan sikap
yang sepatutnya dikikis. Umat Islam seharusnya merasa optimis
dengan kejayaan yang bakal dihadapi oleh Islam pada suatu hari nanti.
Apabila kita melihat sirah
perjuangan Rasulullah s.a.w, Rasulullah
sering memberikan khabar gembira kepada sahabat tentang kemenangan-kemenangan
yang bakal diperolehi oleh muslimin. Di
dalam peristiwa hijrah, semasa Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah, baginda
telah berjanji kepada Suraqah yang telah cuba untuk membunuh Nabi dengan
menghadiahkan kalung Kisra raja Parsi
kepada Suraqah. Walaupun pada masa itu Islam masih lagi diperingkat awal, namun
Rasulullah mampu menjanjikan bahawa Islam akan mengalahkan kerajaan Parsi.
Begitu juga semasa di dalam
peperangan al Ahzab, ketika mana Rasulullah cuba memecahkan batu untuk menggali
Parit. Rasulullah telah menyatakan
kepada para sahabat bahawa Islam akan menawan kota-kota Yaman, Rom dan Parsi.
Sedangkan pada ketika ini umat Islam
sedang berada di dalam kegetiran berhadapan dengan jumlah musuh yang begitu
ramai, tetapi Rasulullah s.a.w. mampu menjanjikan kepada para sahabat tentang
kemenangan yang bakal diperolehi oleh mereka.
Dengan keyakinan inilah para sahabat
berjuang bersungguh-sungguh untuk menyebarkan Islam di muka bumi ini dan
seterusnya melaksanakan janji-janji yang telah dinyatakan oleh Rasulullah
s.a.w. kepada mereka.
Fajar menyinsing
Sikap kita
Tanda-tanda
awal telah kita lihat pada hari ini bahawa fajar Islam akan kembali bersinar
tidak lama lagi. Kita melihat kebangkitan Islam telah mula bersinar di seluruh
pelosok dunia. Umat Islam telah mula kembali kepercayaan mereka terhadap Islam.
Dan musuh-musuh Islam telah mula bimbang dan khuatir dengan kebangkitan ini
dengan menyebarkan dakyah bahawa golongan-golongan
ini merupakan 'terrorist' dan 'fundamentalist'.
Kuasa-kuasa besar dunia semakin hari
semakin hilang kekuatannya. Keruntuhan kerajaan Komunis Soviet Union dan
kerajaan-kerajaan komunis yang lain
merupakan satu petanda bahawa kekuasaan kekuatan musuh tidak akan
selama-lamanya. Amerika Syarikat pada ketika ini telah mengalami masalah
dalaman negara yang begitu teruk. Golongan remajanya yang bakal menjadi teraju
kepemimpinan negara telah mengalami
keruntuhan moral yang amat dahsyat.
Amerika Syarikat yang mendabik dada kekuatan mereka sebenarnya merupakan negara
yang menunggu saat-saat kehancuran seperti mana runtuhnya kerajaan komunis.
Ini merupakan bibit-bibit awal
bahawa fajar Islam akan mula menyinsing dan akan menjadi penguasa alam ini.
Kesedaran Islam telah mula tercerna di dalam hati-hati umat Islam.
Pemuda-pemuda Islam di seluruh pelosok alam
telah mula
melaungkan slogan Islam. Kebangkitan Islam telah berlaku kepada umat Islam
dalam bentuk fikri, akhlak, ekonomi dan jihad.
Maka kita yakin bahawa Allah pasti akan bersama-sama mereka dalam
menegakkan Dinul Islam ini.
Kekuatan yang
dimiliki oleh Muslimin.
Sesungguhnya Muslimin mempunyai
kekuatan yang tidak ada pada manusia yang lain. Penegakan Daulah Islam yang
pertama di Madinah telah meninggalkan kesan yang mendalam dalam hati umat
Islam. Gerakan dan cara yang telah
ditunjukkan oleh Rasulullah menjadi panduan kepada Muslimin hari ini untuk menegakkan
Islam kembali. Perlu diyakini bahawa marhalah dakwah dan cara yang dilakukan
oleh Rasulullah itu merupakan 'Rabbani Taujih' (panduan dari Allah) yang
diberikan kepada Rasulullah sehingga Islam tertegak dengan megahnya dimuka bumi
ini. Maka dengan bekalan pengalaman ini, muslimin mengatur langkah dalam
menegakkan Islam kembali di muka bumi ini.
Selain daripada itu, muslimin
mempunyai kekuatan yang tidak boleh dipandang lekeh oleh manusia. Kita boleh simpulkan bahawa muslimin
mempunyai tiga unsur kekuatan yang mampu
menggugat kekuatan musuh.
Pertama: Kekuatan kuantiti.
Islam pada
hari ini mempunyai bilangan penganut yang hampir suku penduduk dunia yang
tersebar di seluruh benua di dunia.
Sesungguhnya jumlah yang ramai ini merupakan antara aset utama dalam
menegakkan Islam. Ianya merupakan satu nikmat yang seharusnya di syukuri.
Sepertimana firman Allah swt "Ingatlah, ketika kamu masih sedikit,
kemudian kamu telah menjadi
banyak…"(Al
A'araf: 86).
Jamaluddin Al
Afghani pernah berkata kepada rakyat India : "Jika sekiranya
bilangan kamu yang berjuta-juta ini semuanya menjadi lalat, nescaya kamu mampu
untuk menghancurkan telinga Inggeris."
Kedua: Hasil
Bumi.
Muslimin pada
hari ini menetap di negara-negara yang amat kaya dengan hasil buminya. Negara
yang yang kaya dengan minyak dan bahan galian yang lain serta tanah yang subur
untuk pertanian. Semuanya ini merupakan kepunyaan muslimin.
Ketiga: Manhaj
Rabbani.
Inilah
kekuatan yang tidak ada pada manusia yang lain. Muslimin menyeru manusia kepada
satu sistem yang mampu membawa keadilan dan kebahagiaan kepada alam sejagat.
Sistem ciptaan manusia yang wujud pada hari ini sebenar telah membawa kepada
kerosakan dan kesengsaraan kepada manusia. Manusia yang berfikir tidak akan
sekali-kali menolak sistem Allah ini.
Oleh itu jelaslah kepada kita bahawa
kelemahan umat Islam ini tidak akan selama-lama. Islam sekali lagi akan
mencapai kejayaan dan menjadi pentadbir alam ini. Kita sebagai pejuang agama Allah ini seharusnya mempunyai sikap yang
optimis dengan kejayaan yang bakal di hadapi oleh Islam. Kita tidak seharusnya
bersifat putus asa dan keluh kesah dengan suasana dan penindasan musuh terhadap
umat Islam. Malah kita yakin dengan janji-janji Allah bahawa Allah akan
memenangkan agamanya walaupun dihalang oleh orang-orang kafir.
Dengan keyakinan ini bukan bermakna kita akan berdiam diri dan berpeluk
tubuh dengan menunggunya kemenangan yang dijanjikan oleh Allah. Tetapi dengan
keyakinan ini, seharusnya kita mempergandakan amalan dan usaha kita dalam
menegakkan agama Allah ini.
Janganlah umat mengimpikan
kemenangan muslimin terhadap Yahudi sedangkan umat masih lagi berpecah belah,
berselisihan dan pergaduhan. Janganlah umat berangan-angan dengan kemenangan
sedangkan umat masih lagi bermalasan dan tidak bersungguh-sungguh.
Mustahil kemenangan diberikan kepada
orang yang bermalasan dalam berhadapan dengan musuh yang berjuang
bersungguh-sungguh menghancurkan Islam. Mustahil kemenangan diberikan kepada
umat yang hanya meluangkan cebisan waktu untuk Islam dalam berhadapan dengan
musuh yang meluangkan sepenuh waktu untuk meruntuhkan Islam. Maka cepat atau
lewatnya kemenangan Islam adalah di bahu kita bersama yang akan dipersoalkan
oleh Allah Ta'ala nanti.
Dan ingatlah kata-kata Saidina Umar
kepada sahabatnya: " Impikanlah" Seorang pemuda berkata: " Aku
mengimpikan jika sekiranya negeri ini dipenuhi dengan emas lalu aku infakkan
pada jalan Allah." Omar berkata lagi: "Impikanlah". Seorang
pemuda berkata: "Aku mengimpikan jika negeri ini dipenuhi dengan batu
permata lalu aku infakkan pada jalan Allah." Omar berkata lagi:
"Impikanlah". Mereka berkata: "Kami tidak tahu apa yang hendak
dikatakan wahai Amirul Mukminin" Omarpun berkata: "Tetapi aku
mengimpikan rijal seperti Abu Ubaidah bin al Jarrah, Muaz bin Jabal dan Salim,
hamba Abu Huzaifah. Lalu aku meminta pertolongan dari mereka untuk meninggikan
kalimah Allah".
Itulah sebenarnya modal utama untuk
kembali memerintah dunia. Seorang pemuda lebih berharga dan bernilai dari
seluruh isi dunia. Maka pemuda inilah yang akan berjuang sehingga tertegaknya
Dinul Islam ini. Wallahu A'alam.
:) nice entry. Keep it up!
ReplyDeleteKalau dapat hurai sikit fasal marhalah manhaj utk next entry ahsan.
Best juga kalau dapat tahu latar belakang tiga tokoh yang diaebut Umar r.a. :)
Soalan: apa yang dimaksudkan oleh Syaqib Arsalan ketika menolak untuk membina kembali khilafah selepas kerajaan uthmaniyyah jatuh? Boleh ulas?