Sunday 3 April 2016

Mengapa Aku Berkahwin

Assalamualaikum buat saudara yang dicintai Allah dan dirindui Rasulullah,

Kaifa hal? Adakah diawali hari ini dengan hamdalah atas segala nikmat yang telah Allah limpah?

Sudahkah dibuka kalamNya yang menjadi panduan kehidupan yang sedang kita bina?
serta bagaimana persiapanmu untuk mendidikku agar menjadi hamba yang solehah? 

Tidakkah kau terfikir, mengapa aku bersetuju untuk bernikah? 


Pada awalnya, aku sudah bernekad bahawa tidak aku hanya ingin membina bahtera cinta semata melainkan bahtera ini bakal menjadi markas dakwah kita bersama. Jika bahtera yang lain indah materi, biarlah bahtera kita kaya dengan mawaddah wa rahmah. 


Allah cinta kepadaku begitu dahsyat, Allah memberi nikmat terlalu banyak kepadaku, pertama, Allah memberiku sebuah keluarga yang sangat hebat, maka apabila kita bernikah nanti usahlah kau merasa kekok dengan kaum keluargaku melainkan kau cinta mereka sebagaimana kau mencintaiku. Aku ini Allah mencampak rasa cinta yang terlalu banyak, maka saat dan tika ini, rasa sayang aku pada keluargamu sudah mula berputik. Kedua, Allah mencintaiku makanya Dia mengenalku terhadap perjuangan. DihantarNya wasilah yang terlalu hebat dan indah iaitu adik beradik seperjuanganku. Jangan kau jauhkan aku dari mereka, merekalah insan yang memberi 'ruh' pada jiwaku, mengingatkan aku pada kehidupan mendatang juga merekalah nyawa terhadap dunia haraki ini. Ketiga, hal yang terlalu hebat ujiannya didalam hidupku dan terlalu indah perjalanan menuju impianku, apabila Allah memilihku untuk bersama orang-orang yang menjaga kalamNya. Aku bukanlah sehebat mereka yang sudah sebati jiwanya,lidahnya dan akal fikirannya dengan Al-Quran, maka sejak khittah kaki ini memasuki medan, aku sudah tekad dijiwaku agar aku berjumpa dengan Rabbku dalam keadaan Quran tersemat didada. Aku takut hatiku diazab Allah kerana tidak menjaga kalamNya dengan baik, bantulah aku, dan ingatilah aku untuk selalu menjaga hafalan ini, moga-moga suatu saat nanti, kita akan berpimpin tangan erat menuju ke syurganya yang abadi. 


Aku tahu, Allah juga mencintaimu sepertimana Dia mencintaiku. Kuyakini Allah sedang mentarbiahmu agar menjadi seorang mujahid yang soleh, atau menuju kearah 'sufi haraki' hingga di akhirat nanti aku berbangga kerana berdamping denganmu. Aku mengharapkan kesolehan darimu, aku harap begitu juga dirimu. Maka jika kau harapkan kecantikan, kekayaan atau kedudukan daripadaku, maka ketahuilah itu hanyalah sia-sia.


Saat ini aku diasuh oleh kaum keluarga dengan jagaan yang baik, tidak lain agar aku menjadi seorang insan yang menjadi tabungan berharga buat mereka diakhirat nanti. Saat nanti jika sudah aku menjadi pendamping dalam hidupmu, aku berharap agar aku dapat menjadi bidadari dalam hidupmu yang solehah. Aku ini banyak kekurangan dan kehausan ilmu, maka tarbiahlah aku mengikut acuan Rasulullah, kerana jika kau menggunakan kekerasan, aku takut ianya semakin menghilangkan keizzahan dalam rumahtangga kita dan bakal generasi yang akan mewarnai kehidupan kita suatu saat nanti.


Tidak pernah aku menulis mengenai ini,dan inilah kali pertamanya. Semoga ianya bermanfaat. Meniti hari bahagia itu, hiasilah ia dengan muraqabah agar Allah selalu dekat dengan kita. 


Akhir kata, aku bernikah untuk Islam dan kerana Allah, moga Allah teguhkan perjanjian yang telah kita lafaz suatu ketika dahulu, perjanjian yang teguh dan kukuh,tidak pernah pudar di akal fikiran, Mithaqan Ghaliza. 






Tuesday 19 January 2016

المستقبل لهذا الدين (Hari Esok Untuk Islam )



            Setelah kejatuhan empayar Islam Uthmaniah, kita telah melihat beberapa siri penindasan dan kekejaman yang telah menimpa umat Islam sehingga hari ini. Umat Islam seolah-olah telah hilang taringnya yang tidak mampu melawan kekuatan musuh. Islam telah kehilangan rijal-rijal yang akan kembali membawa kegemilangan Islam. Pukulan hebat dan penangkapan serta penyembelihan berlaku pada umat Islam apabila umat Islam mula bangun cuba untuk menegakkan Islam kembali. Umat Islam seolah-olahnya kehilangan pedoman dan panduan apabila melihat kekuatan musuh  yang begitu hebat. 

            Ramai di kalangan muslimin menyangkakan bahawa pada akhir zaman nanti akan berlakunya al fitan dan kerosakan di muka bumi. Mereka menyangka  bahawa kekufuran beleluasa, kejahatan menguasai  alam. Islam berada di dalam kemunduran dan penegak kebenaran dihina dan ditindas.

            Sebenarnya ini merupakan satu tasawwur yang silap yang seharusnya diperbaiki. Kegelapan yang menimpa umat Islam kini tidak akan selama-lamanya. Fajar Islam akan menyinsing tidak lama lagi. Jahiliyah pasti akan runtuh di bawah kekuatan Islam. Islam akan sekali lagi menjadi pentadbir alam ini. Maka muslimin  seharusnya merasa yakin dan tidak berputus asa dengan janji Allah bahawa Islam akan muncul mentadbir  alam ini walaupun orang kafir cuba untuk menghapuskannya. Firman Allah Taala." Mereka cuba untuk memadam cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka, dan Allah tidak menghendaki selain menyempurnakan cahaya Nya walaupun orang kafir tidak menyukai" (at Taubah: 32)

            Sebenarnya sikap berputus asa dan keluh kesah terhadap suasana yang menimpa umat Islam kini merupakan sikap yang  sepatutnya  dikikis. Umat Islam seharusnya merasa optimis dengan kejayaan yang bakal dihadapi oleh Islam pada suatu hari nanti.

            Apabila kita melihat sirah perjuangan Rasulullah s.a.w,  Rasulullah sering memberikan khabar gembira kepada sahabat tentang kemenangan-kemenangan yang bakal  diperolehi oleh muslimin. Di dalam peristiwa hijrah, semasa Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah, baginda telah berjanji kepada Suraqah yang telah cuba untuk membunuh Nabi dengan menghadiahkan kalung Kisra raja  Parsi kepada Suraqah. Walaupun pada masa itu Islam masih lagi diperingkat awal, namun Rasulullah mampu menjanjikan bahawa Islam akan mengalahkan kerajaan Parsi.

            Begitu juga semasa di dalam peperangan al Ahzab, ketika mana Rasulullah cuba memecahkan batu untuk menggali Parit. Rasulullah telah  menyatakan kepada para sahabat bahawa Islam akan menawan kota-kota Yaman, Rom dan Parsi. Sedangkan pada  ketika ini umat Islam sedang berada di dalam kegetiran berhadapan dengan jumlah musuh yang begitu ramai, tetapi Rasulullah s.a.w. mampu menjanjikan kepada para sahabat tentang kemenangan yang bakal diperolehi oleh mereka.

            Dengan keyakinan inilah para sahabat berjuang bersungguh-sungguh untuk menyebarkan Islam di muka bumi ini dan seterusnya melaksanakan janji-janji yang telah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. kepada mereka.
           
           

Fajar menyinsing

Sikap kita

Tanda-tanda awal telah kita lihat pada hari ini bahawa fajar Islam akan kembali bersinar tidak lama lagi. Kita melihat kebangkitan Islam telah mula bersinar di seluruh pelosok dunia. Umat Islam telah mula kembali kepercayaan mereka terhadap Islam. Dan musuh-musuh Islam telah mula bimbang dan khuatir dengan kebangkitan ini dengan menyebarkan dakyah bahawa golongan-golongan ini merupakan 'terrorist' dan 'fundamentalist'.

            Kuasa-kuasa besar dunia semakin hari semakin hilang kekuatannya. Keruntuhan kerajaan Komunis Soviet Union dan kerajaan-kerajaan  komunis yang lain merupakan satu petanda bahawa kekuasaan kekuatan musuh tidak akan selama-lamanya. Amerika Syarikat pada ketika ini telah mengalami masalah dalaman negara yang begitu teruk. Golongan remajanya yang bakal menjadi teraju kepemimpinan negara telah mengalami  keruntuhan moral yang amat dahsyat. Amerika Syarikat yang mendabik dada kekuatan mereka sebenarnya merupakan negara yang menunggu saat-saat kehancuran seperti mana runtuhnya kerajaan komunis.

            Ini merupakan bibit-bibit awal bahawa fajar Islam akan mula menyinsing dan akan menjadi penguasa alam ini. Kesedaran Islam telah mula tercerna di dalam hati-hati umat Islam. Pemuda-pemuda Islam di seluruh pelosok alam
telah mula melaungkan slogan Islam. Kebangkitan Islam telah berlaku kepada umat Islam dalam bentuk fikri, akhlak, ekonomi dan jihad.  Maka kita yakin bahawa Allah pasti akan bersama-sama mereka dalam menegakkan Dinul Islam ini.

Kekuatan yang dimiliki oleh Muslimin.

            Sesungguhnya Muslimin mempunyai kekuatan yang tidak ada pada manusia yang lain. Penegakan Daulah Islam yang pertama di Madinah telah meninggalkan kesan yang mendalam dalam hati umat Islam.  Gerakan dan cara yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah menjadi panduan kepada Muslimin hari ini untuk menegakkan Islam kembali. Perlu diyakini bahawa marhalah dakwah dan cara yang dilakukan oleh Rasulullah itu merupakan 'Rabbani Taujih' (panduan dari Allah) yang diberikan kepada Rasulullah sehingga Islam tertegak dengan megahnya dimuka bumi ini. Maka dengan bekalan pengalaman ini, muslimin mengatur langkah dalam menegakkan Islam kembali di muka bumi ini.
            Selain daripada itu, muslimin mempunyai kekuatan yang tidak boleh dipandang lekeh oleh manusia.  Kita boleh simpulkan bahawa muslimin mempunyai tiga unsur kekuatan  yang mampu menggugat kekuatan musuh.

 Pertama:  Kekuatan kuantiti.
Islam pada hari ini mempunyai bilangan penganut yang hampir suku penduduk dunia yang tersebar di seluruh benua di dunia.  Sesungguhnya jumlah yang ramai ini merupakan antara aset utama dalam menegakkan Islam. Ianya merupakan satu nikmat yang seharusnya di syukuri. Sepertimana firman Allah swt "Ingatlah, ketika kamu masih sedikit, kemudian kamu telah menjadi
banyak…"(Al A'araf: 86).
Jamaluddin Al Afghani pernah berkata kepada rakyat India: "Jika sekiranya bilangan kamu yang berjuta-juta ini semuanya menjadi lalat, nescaya kamu mampu untuk menghancurkan telinga Inggeris."

Kedua: Hasil Bumi.
Muslimin pada hari ini menetap di negara-negara yang amat kaya dengan hasil buminya. Negara yang yang kaya dengan minyak dan bahan galian yang lain serta tanah yang subur untuk pertanian. Semuanya ini merupakan kepunyaan muslimin.

Ketiga: Manhaj Rabbani.
Inilah kekuatan yang tidak ada pada manusia yang lain. Muslimin menyeru manusia kepada satu sistem yang mampu membawa keadilan dan kebahagiaan kepada alam sejagat. Sistem ciptaan manusia yang wujud pada hari ini sebenar telah membawa kepada kerosakan dan kesengsaraan kepada manusia. Manusia yang berfikir tidak akan sekali-kali menolak sistem Allah ini.

            Oleh itu jelaslah kepada kita bahawa kelemahan umat Islam ini tidak akan selama-lama. Islam sekali lagi akan mencapai kejayaan dan menjadi pentadbir alam ini. Kita sebagai pejuang agama Allah ini seharusnya mempunyai sikap yang optimis dengan kejayaan yang bakal di hadapi oleh Islam. Kita tidak seharusnya bersifat putus asa dan keluh kesah dengan suasana dan penindasan musuh terhadap umat Islam. Malah kita yakin dengan janji-janji Allah bahawa Allah akan memenangkan agamanya walaupun dihalang oleh orang-orang kafir.

Dengan keyakinan ini bukan bermakna kita akan berdiam diri dan berpeluk tubuh dengan menunggunya kemenangan yang dijanjikan oleh Allah. Tetapi dengan keyakinan ini, seharusnya kita mempergandakan amalan dan usaha kita dalam menegakkan agama Allah ini.

            Janganlah umat mengimpikan kemenangan muslimin terhadap Yahudi sedangkan umat masih lagi berpecah belah, berselisihan dan pergaduhan. Janganlah umat berangan-angan dengan kemenangan sedangkan umat masih lagi bermalasan dan tidak bersungguh-sungguh.

            Mustahil kemenangan diberikan kepada orang yang bermalasan dalam berhadapan dengan musuh yang berjuang bersungguh-sungguh menghancurkan Islam. Mustahil kemenangan diberikan kepada umat yang hanya meluangkan cebisan waktu untuk Islam dalam berhadapan dengan musuh yang meluangkan sepenuh waktu untuk meruntuhkan Islam. Maka cepat atau lewatnya kemenangan Islam adalah di bahu kita bersama yang akan dipersoalkan oleh Allah Ta'ala nanti.

            Dan ingatlah kata-kata Saidina Umar kepada sahabatnya: " Impikanlah" Seorang pemuda berkata: " Aku mengimpikan jika sekiranya negeri ini dipenuhi dengan emas lalu aku infakkan pada jalan Allah." Omar berkata lagi: "Impikanlah". Seorang pemuda berkata: "Aku mengimpikan jika negeri ini dipenuhi dengan batu permata lalu aku infakkan pada jalan Allah." Omar berkata lagi: "Impikanlah". Mereka berkata: "Kami tidak tahu apa yang hendak dikatakan wahai Amirul Mukminin" Omarpun berkata: "Tetapi aku mengimpikan rijal seperti Abu Ubaidah bin al Jarrah, Muaz bin Jabal dan Salim, hamba Abu Huzaifah. Lalu aku meminta pertolongan dari mereka untuk meninggikan kalimah Allah".

            Itulah sebenarnya modal utama untuk kembali memerintah dunia. Seorang pemuda lebih berharga dan bernilai dari seluruh isi dunia. Maka pemuda inilah yang akan berjuang sehingga tertegaknya Dinul Islam ini. Wallahu A'alam.
           






Monday 26 October 2015

Dia Inspirasiku 2





Video ini aku pernah lihat semasa di sekolah menengah. bacaannya memang membuat aku terlopong, dia bukan sahaja membaca ayat hafalannya malah memberitahu surah, ayat, sebelah kiri atau kanan ayat terletak serta mukasurat. juri juga bukan tebuk ayat tetapi tebuk perkataan didalamAl-Quran.



masha Allah, mungkin aku tidaklah sehebat ini, aku harap ada dalam kalangan generasiku seperti ini, hehe. semoga Allah memberiku semangat dan keizinan untuk menghafal kalamNya. semoga aku mencontohi mereka, 'ahli Allah'.

Dia inspirasiku





Mudahnya dia hafal, kerana Allah memudahkan sebutan lidahnya.

Begitu kuat penggantungannya pada Allah, aku boleh lihat itu.

Semoga aku dan generasiku menjadi generasi yang dapat menjaga kalam Allah ini.



Kuatkan kami ya Allah. Temukan kami dalam syurgaMu.

Monday 27 July 2015

Aku umat yang malas membaca

Pada hari ini, saya keluar ke beberapa buah kedai buku untuk membeli beberapa buah buku untuk pelajar saya. 2 plastik besar saya gagahkan diri untuk membawa beepuluh buah kitab, al maklumlah berjalan seorang diri. Sesudah bayar kesemua buku, kaki terhenti pada sebuah longgokkan buku.

Mata terhenti pada nama seorang ulama' fiqh yakni D.Yusof Al-Qaradawi. Saya bertanya kepada orang kedai berikut, mengapa banyak buku diletakkan diatas lantai begitu sahaja, katanya ' Buku ini tidak laku,cik. Jadi kami membuat lelongan.'

Hati saya sedih, teringat kata murabbi, betapa payah para ulama terdahulu menulis ilmu, sehingga ada yang menulis ketika dalam tahanan penjara seperti sayeed qutb. Hati saya sedih, muka saya malu kerana kebanyakkan buku yang dilelong itu ialah karya tokoh2 ulama dan pejuang islam yang terkenal seperti Dr.Yusof Al Qaradawi, Asy-Syahid Hassan AlBanna, Asy Syahid abdullah Azzam dan lain lain lagi. Ya tuhan, sehina inikah kami sehingga kurang perihatin tentang ilmu. Adakah kami beriman dengan surah al-Alaq ayat 1. Adakah kami penyelamat agamamu.

Dahulu, para sahabat membaca hanya di kulit kayu atau batu yang diukir. Payahnya mereka ingin dapatkan ilmu, perjalanan berbatu batu mampu pergi untuk menadah kitab dan mendengar kalam ulama tercinta, teringat kisah Imam Asy syafie, dan juga tokguru nik aziz yang bermusafir jauh untuk menadah ilmu. 
Tapi kami waktu ini, diuji dengan kesibukan dunia, kurang cinta pada ilmu diuji dengan kesenangan.

Saya mengutip beberapa buku buah di atas  lantas pergi ke kaunter. Semoga mampu menghadamkan buku2 ini, semoga Allah membuka ruang didada ini untuk menerima ilmu Allah, dan semoga Allah jauhkan daripada tergolong dalam golongan yang sombong dengan ilmu. Nauzubillah min zalik.

Saturday 25 July 2015

Kupu-kupu cinta

Pertemuan ini menjadi suatu berarti
Dikala diri menepi untuk warna-warna hati
Ruang-ruang jiwa hanya untuk maha kuasa
syair-syair cinta tercipta karna dia

Kupu-kupu cinta
terbanglah tinggi menuju jalannya
Hinggaplah engkau dibunga yang indah
Terbang bersama hembus angin cinta

Ya ilahi Rabbi
Tiada lain hanyalah namamu
Satukan Cinta ini dalam bingkai
Untaian redhomu

-------------------------------------------

Hadirku padamu adalah takdirNya dan semoga perjalanan kita dipermudahkan olehNya menuju ke syurgaNya yang terindah. Hati kita sentiasa berbolak balik, oleh itu kita memerlukan makanan seperti bacaan Al-Quran dan tazkir. Berdoalah agar diberi hati yang tetap, pendirian yang teguh dan sentiasa dalam rahmatNya. Moga-moga kebahagiaan milik kita.

Bernikah itu bukan sekadar membina bahtera cinta, melainkan markas dakwah kita bersama.