Thursday 23 April 2015

Aku Pada Hari Ini Kerana Hari Semalam

Ibu kembali ke rahmatullah ketika aku berumur 11 tahun. Selepas daripada itu, aku menumpang kasih bersama atuk dan nenekku. aku dan adikku cukup manja dengan atuk, dan ditarbiah dengan amat baik sekali. melihat atukku, beliau cukup haraki dalam perjuangan Islam, boleh aku katakan beliau cukup haraki dgn perjuangan. Solat jemaah sentiasa di Masjid Al-Fatah, walau hujan lebat atau panas terik, beliau tidak pernah sesekali tinggal solat jemaah. Selain itu, jika waktu maghrib dan isyak, pada kebiasaannya beliau menjadi imam di markas Pas bersebelahan di rumah kami. Harta yang ada, kebanyakannya beliau selalu infak untuk perjuangan, ketika aku masih kecil lagi, aku sudah diajar bersedekah atau infak kerana katanya, 'harta tidak akan dibawa mati.'

8 tahun aku ditarbiah olehnya, akhirnya dia juga kembali ke hadrat Ilahi. Seorang demi seorang orang yang aku sayang meninggalkan aku, nenek sering memberi tazkirah tentang tabah dan selalu ingatkan kami tentang bekalan untuk ke sana. 

Pada tahun yang sama iaitu 2012, tahun aku juga menunggu tawaran sambung belajar ke ipt. Surat demi surat yang diterima, aku menolak. Setelah istikharah, hati aku bertekad untuk memilih menyambung belajar ke salah satu tempat yang aku sendiri belum pernah jejak kaki ke sana iaitu Darul Quran JAKIM. 

Khittah kaki ini akhirnya sampai ke tanah tarbiah itu. Kali ini hanya abah dan adik yang menghantar aku kerana yang lain masih banyak urusan dan keadaan yang masih tidak stabil kerana baru seminggu arwah atuk meninggal dunia. Pergi ke sana dengan perasaan yang kosong, tidak gembira, tidak juga sedih cuma 2-3 titisan airmata (hehe). Nenek memohon maaf kerana tidak hantar aku namun aku cuba untuk memahami situasinya.

Sampainya disana, aku melihat para ibu semua menghantar anak perempuannya ke asrama. aku merenung jauh kearah abah dan adik sambil tersenyum melihat papan tanda
'LELAKI TIDAK DIBENARKAN HAMPIRI KAWASAN ASRAMA BANAT'. Ya, Allah itu Maha Mengetahui, alhamdulillah datang lebih kurang 6 orang senior menawarkan diri membantu mengangkat barang-barangku. Katanya, jangan sedih2, kakak-kakak disini selalu ada andai adik (aku) perlukan bantuan. Disitulah terciptanya keluarga kedua aku disini, adik beradik aku.

2 minggu selepas minggu orientasi, kelas pembelajaran bermula. Kelas pertama iaitu hifzil Quran. Ustaz banyak memberikan taujihat kepada kami. Salah satunya yang aku ingat sehingga kini, 'Niatkan hafalan kami dari mula sehingga akhir kepada kedua ibubapa kamu serta ahli keluarga seluruhnya. Moga-moga kami dapat memakaikan mahkota yang terindah untuk mereka di akhirat nanti.'

Semua menitiskan airmata. Malam itu, aku selitkan gambar arwah ibuku di quran hafalanku. Ia motivasi untuk aku terus kuat dan sehingga aku berjaya khatam Quran, ini sahaja hadiah yang mampu aku beri buatmu, ibu. Semoga Allah izinkan.

Alhamdulillah, sehingga kini, walau sudah keluar dari DQ, kenangan ini selalu melekat di kotak fikiranku.


------------------------------------------------------------------------------

Sepanjang perjalanan untuk kita menghafaz kalam Allah,
mungkin banyak halangan dan ujian yang Allah beri. kata ustaz, nak jadi ahli Allah ini bukan senang, jika dahulu hanya tentera syaitan yang mengacau, sekarang sudah Jeneral2 nya yang datang. Sesuailah dengan diri kita sekarang, ingin melangkah ke golongan yang lebih dekat dengan Allah, maka makin besarlah ujiannya.

Selain itu, jika pada zaman Nabi SAW, di saff yang paling hadapan ketika perang ialah mereka yang menghafaz Al-Quran kerana merekalah yang hatinya paling dekat dengan Allah. maka kita, walau tidak sehebat para sahabat dahulu, dekatilah perjuangan Islam.
tidak perlu aku mengeluarkan dalil mengenai pentingnya dakwah,tarbiah serta siasah kerana semua memahami dengan baik sekali. 

Gunakanlah Quran itu, untuk ummat.
jadilah Hamalatul Quran yang cintakan dunia haraki.




No comments:

Post a Comment